AKU SEORANG GP

Jumaat, 28 September 2018

ENJIN KERETA JENAZAHKU - Coretan Pengenalan


Assalamualaikum dan salam perkenalan.

Hari ini baru tergerak hati untuk memulakan bicara di ruang maya ini bagi berkongsi apa yang difikir dan juga dirasa buat tatapan semua. Semoga ianya bermanafaat ke arah melahirkan insan-insan yang melihat, mendengar, memikir, menulis, membicara dan melakukan tindakan dari hati yang paling dalam semoga kita semua yang datangnya kosong akan pergi dengan bekalan ketika menghadapNya kelak.


ENJIN KERETA JENAZAHKU
-Mior Yusuf·
Ahad, 2 September 2018

Enjin kereta jenazahku sudah berbunyi
tanda tak lama lagi
aku bakal dijemput pergi
tinggalkan orang yang ku kasihi
tinggalkan harta yang ku cari-cari
tinggalkan pangkat dan kebesaran diri
tinggalkan ilmu yang menggunung tinggi
hanya kain kafan menyelimuti diri
menghadap Ilahi Tuhan Rabbul Jalil.

Enjin kereta jenazahku sudah berbunyi
tanda ajalku semakin menghampiri
tiada lagi episod duka
tiada lagi kesengsaraan
tiada lagi kesakitan
tiada lagi kesusahan
tiada lagi kewajipan
yang tinggal hanyalah pembalasan.
Kebaikankah atau keburukan?
Kenikmatankah atau keazaban?

Enjin kereta jenazahku sudah berbunyi
tiba-tiba dunia terasa sepi
Ke mana perginya kawan-kawanku?
Ke mana perginya saudara-maraku?
Ke mana perginya anak-isteriku?
Ke mana perginya harta dan pangkatku?
Semuanya tiada di sisiku
ketika Izrail menghampiriku
di kamar sepi di pembaringanku.

Enjin kereta jenazahku sudah berbunyi
kini barulah aku mengerti
segala yang ku usahakan selama ini
segala yang ku  kumpulkan berhari-hari
buat bekalan di kemudian hari
hanyalah untuk ditinggalkan pergi
buat pusaka orang yang ku kasihi
entah berbaloikah pengorbanan ini?

Enjin kereta jenazahku sudah berbunyi
apakah bekalan aku hari ini
buat perjalanan yang tak pulang lagi
penuh berisikah bakulku ini
atau banyak yang tercicir di sana-sini?
Bakul yang ku sangka sudah dipenuhi
rupanya kosong tak tinggal apa-apa lagi
lantaran terbocor di tengah jalan ini
lantaran tiada keikhlasan di hati
lantaran tiada penyerahan diri.

Enjin kereta jenazahku sudah berbunyi
terdengar berita di sana-sini
ramai sahabatku dijemput pergi
terasa pula nombor giliranku ini
seolah naik sedikit waktu lagi
di saat inikah atau esok masih punya hari
untuk bersiap membawa bekalan ini
agar datang kosong pulangnya berisi
barulah hidup lebih bererti
di kehidupan yang fana lagi hakiki

2 ulasan: