AKU SEORANG GP

Isnin, 8 Oktober 2018

AKU SEORANG GP


AKU SEORANG GP
-Mior Yusuf
15hb Ogos, 2018

Aku hanyalah seorang GP
anak watan yang punya jatidiri
prihatin dengan perit-jerih juga denyut nadi
Insan kerdil yang kesakitan perlukan rawatan
nun diperdalaman, di kaki gunung juga hutan
mengharap ihsan seorang GP berikan rawatan
meminta pertolongan, hasil tangkapan jadi tukaran,
mahupun hasil kebun sebagai ganti kos rawatan

Aku hanyalah seorang GP
bekerja di awal pagi hingga dinihari
juga di hari cuti tanpa ada yang ganti
mencari kehidupan yang lebih bererti
kesejahteraan pesakit jadi prioriti
keluarga sendiri terkadang jauh hati
diri sendiri apatah lagi

Dulu tak kenal kos rundingan
semuanya berhimpun di satu bayaran
kalau adapun cuma RM lima ke sepuluh
dicampur ubat tak sampaipun RM dua puluh
itupun dah mahal buat rakyat kebanyakan
bekerjalah sang GP siang hingga semalaman
demi hasil yang lebih sepadan

Aku cuma seorang GP, bukan pakar serba-serbi
mencurah bakti ada juga yang mengeji
tak kurang juga yang sinis pandang sisi
doktor MC untuk yang suka minta cuti
doktor tekak, demam, batuk juga yang bengkak gusi

Kecilnya gambaran buat kami semua
walau realiti tak ramai mengetahuinya
pelbagai penyakit kami cuba kesaninya
di awal peringkat yang masih belum berjenama
boleh dirawatkah atau perlu dirujukkan saja
agar yang sakit cepat pulih semula.

Zaman dah berubah canggih- canggih belaka
semuanya kini dihujung jari sahaja
GP yang solo mulai kerja berdua
juga yang bertiga, tubuhkan syarikat pula
membuka rangkaian di merata-rata
tak kurang juga yang bersengkang mata
klinik 24 jam dah jadi jenama

Tiba-tiba muncul TPA pula
'Third Party Administrator' itulah dia
entah dari mana mereka dapat idea
kononnya membantu klinik sedia ada
melebarkan perniagaan dan memudahkan urusan
GP yang naif bersorak keriangan
tanpa usul periksa turunkan tandatangan
menang sorak kampung jadi gadaian
bukan saja bayaran yang sering kelewatan
urusan rawatan pun dalam kawalan

Satu kementerian dua sektor
sektor awam dan juga swasta
Menterinya satu Ketua Pengarahnya pun satu
Kenapa kami tak rasa begitu?
Seolah dianak-tirikan dan tidak direstu
undang-undang hanya untuk swasta
Pelbagai cukai dan fi segala

Kami ditekan disegenap penjuru
minta pembelaanpun disenarai menunggu
aktiviti TPA tiada yang selia
bermaharajalela berbuat segala
kerana tiada yang tampil membela
nasib kami doktor swasta
bergelar GP di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan