TERKENANG SEMASA DULU
-Mior Yusuf
9hb. Oktober, 2018
Terkenang semasa dulu
tika hujan lebat mencurah ke bumi
di petang hari yang dingin duduk di serambi
bertemankan atuk yang ligat mengingati
kisah zaman Jepun memerintah di sini
menjadi buruh paksa bina jalan keretapi.
Titisan hujan membasahi pipi
di celah ketirisan atap di serambi
ada juga yang terkumpul di dalam baldi
boleh diguna di kemudian hari.
Perbualan kami rancak sekali
apatah lagi bila opah tumpang sekaki
bersama rebus ubi dan tiga cawan kopi.
Atukku terus bercerita lagi
sambil menikmati secawan kopi
menyanyikan lagu yang takku fahami
juga diselitkan tentang harakiri
sebagai tanda maruah diri
tentera Jepun yang amat berani
tindakan kamikaze bikin gergasi
yang sedang tidur lintang-pukang lari.
Hidup dengan memakan ubi
yang makan nasi tak betah hidup lagi
radio sebagai alat komunikasi
nak dengarpun sembunyi-sembunyi
kalau ditangkap kena pancung sampai mati
begitulah azab orang kita hari-hari
Terkenang semasa dulu
atuk sambung cerita lagi
gadis perawan mahupun yang bersuami
ditangkap diheret tanpa peduli harga diri
pemuas nafsu serakah Nippon yang lupa diri
yang berani menentang dipancung sampai mati
Selepas Jepun serah diri
British belum sempat kembali
Bintang tiga pula menguasai
semua tali barut Jepun dicari
ditangkap diikat disumbat dalam guni
dibunuh dengan kejam sampai tak jumpa ke hari ini
Hujan yang lebat sudahpun berhenti
ubi rebus dan kopi dah tiada lagi
atuk janji esok cerita lagi
kisah lama yang patut diingati
buat pedoman di kemudian hari
atuk janji esok cerita lagi
kisah lama yang patut diingati
buat pedoman di kemudian hari



Tiada ulasan:
Catat Ulasan