AKU SEORANG GP

Ahad, 30 September 2018

PATAH SAYAPKU



Patah sayap bertongkat paruh....



Bingkisan sajakku hari ini buat tatapan semua.

PATAH SAYAPKU
-Mior Yusuf
6hb September, 2018

Dunia kini makin bercelaru
Hari ke hari makin haru-biru
Hukum Pencipta jadi modal bercerita
Mengaku tahu dan petah segala
Rupanya jahil, bodoh sombong lagaknya
Layakkah kita mempersoalkanNya
Aturan Pencipta Yang Maha Berkuasa
Maha Mengetahui segala ciptaanNya.

Lama ku pendam dalam diam
Ibarat api dalam sekam
Namun aku tak betah bertahan
Melihat saja semua keadaan

Pelbagai isu dilontarkan
Keadilan sosial yang diperjuangkan
Fokus kepada golongan songsang dan serpihan
Lalu terabai keperluan majoriti sekelian.

Mulanya nampak gah ikut peraturan
'Rules of Law' jadi pertimbangan
Rupanya tidak kesampaian
Banyak tindakan mula dipertikaikan
Walau belum sempat dibicarakan

Hukum Allah jadi perbahasan
Tak kurang juga dipersendakan
Cukup hanya guna akal fikiran
Demi memuaskan perasaan
Hawa nafsu jadi tunggangan
Demi agenda politik murahan.

Sudah-sudahlah berbuat onar
Di mukabumi ini hanya sebentar
Tidak takutkah azab dan balasan
Sekelip mata bumi dihancurkan
Jika kezaliman dan kemungkaran
Terus bermaharajalela tanpa sekatan
Tunggulah detik kehancuran
Kemusnahan tamadun dunia akhir zaman.

Selagi aku mampu berdiri
Mampu terbang ke sana-sini
Selagi aku mampu menulis
Mampu berkarya dengan mata pena
Takkan ku biarkan ianya terjadi
Tanpa sedikitpun resah dihati

Biarpun patah sayapku
Biarpun kelu lidahku
Biarpun terpejam mataku
Namun tidak sesekali aku
Merelakan keadaan terus membelenggu
Tanpa berkata sesuatu
Yang haq tetap haq
Yang bathil tetap bathil
Agar semua kembali bersatu
Berpaksikan kepada akidah yang satu.

1 ulasan:

  1. Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku...

    BalasPadam