AKHLAK JUNJUNGAN
-Mior Yusuf
24hb. Oktober, 2018
Lahirnya membawa berita gembira
seluruh keluarga menantikannya
12 Rabiul Awal Tahun Gajah
tentera Abrahah menyerang Mekah
itulah tarikh lahirnya Baginda
ibarat munculnya bulan purnama
jadi penyuluh dalam kegelapan
bawa petunjuk dan juga kerahmatan
seluruh makhluk sekelian alam.
Sejak lahir tidak berbapa
Abdullah bapanya meninggal dunia
ibunya Aminah pula turut sama
meninggal selepas melahirkannya
tinggallah dia sebatang kara
Halimatus Saadiah jadi ibu susuannya
tinggal hanya datuknya sahaja
Abdul Muttalib tempat bermanja
namun tak lama dia pergi jua
Abu Talib pamannya pula menjaganya
Bergelar al-Amin di kota Mekah
pemuda jujur lagi dipercayai
asalnya menjadi pengembala kambing
berkat kejujuran dilantik membantu
perniagaan Siti Khadijah bertambah maju
akhirnya menjadi isterinya nombor satu
penyokong Rasulullah (s.a.w.) hingga ke akhir waktu
Akhlak terpuji tiada tandingan
penyempurna akhlak yang diutuskan
kerana mukmin yang sempurna iman
ialah mereka yang terbaik akhlaknya
pemurahnya Baginda tiada terkira
mengatasi hembusan angin di udara
ketika wafat hartanya cuma
sebilah pedang dan baju besi sahaja
Memulai makan dengan berdoa
menghalau syaitan dan tanda kesyukuran
tangan kanan menyuap makanan
pilih yang berdekatan bukan yang berjauhan
tak pernah mencela segala makanan
yang kurang enak cuma disisihkan
tidak makan secara berlebihan
berhenti sebelum kenyang jadi amalan
sering mengikat batu di pinggang
jika tiada makanan dihidang
terus berpuasa sampai ke petang
Amat sederhana dalam pemakaian
warna putih jadi kegemaran
bersih dan kemas penuh keharuman
orang di keliling merasa senang
kulitnya lembut mengalahkan sutera
aromanya harum mengalahkan ‘perfume’.
Bila berkata ringkas dan padat
juga lengkap dan mudah difaham
kurang bercakap kecuali perlu
lemah-lembut menyantuni semua
anak kecil, wanita dan orang tua
merendahkan suara kecuali yang haq
apabila ditanya segala sesuatu
dijawabnya tanpa rasa jemu
mudah diterima tak tersinggung hatimu
Sungguh mulia akhlak Baginda
sebagai contoh ikutan kita
umat Baginda di akhir zaman
tidak pernah mengeji dan berkata keji
tidak pernah mencela dan juga bersengketa
tidak juga berkata yang sia-sia
Berlapang dada sangat pemaaf
di medan perang musuh menyerang
ketika nyawa dihujung pedang
yakin sepenuh pertolonganNya datang
pedang dihunus terjatuh ke tanah
terus dirampas oleh Rasulullah (s.a.w.)
bisa saja melepas amarah
namun begitu bukan sifatnya Rasulullah (s.a.w.)
malah memilih memberi maaf
membuka hidayah memeluk Islam
Badwi yang kasar lagi biadap
merentap selendang di bahu Baginda
langsung tidak dimarahinya
dibiarkan saja dia mengambilnya.
Yahudi buta yang sering mengutuknya
tanpa ketahui siapa menyuapinya
setiap hari hinggalah kewafatannya
baru tersedar menyesal tak terhingga
terbuka hijab memeluk Islam jua
Penyayangnya Baginda begitu terserlah
ketika melayani pelbagai karenah
anak isteri dan juga cucunya
begitu juga para sahabatnya
bertanya khabar dan sering berziarah
makan bersama solat berjamaah
merendah diri pandai mengambil hati
begitu risau sering memikiri
tentang umatnya di akhir zaman ini
sehingga saat meninggalkan pergi
tak terlepas kalam dan ingatan di hati
ummati, ummati, ummati, ummati.
Siddiq, tabligh, amanah, fathonah
sifat Baginda yang amat menyerlah
sangat mengasihi para sahabatnya
sekelian makhluk serata alam
terlebih lagi kita umatnya
akhir zaman tak pernah diketemukan
namun sunnahnya tetap kita laksanakan
demi kasih kita kepada junjungan
sentiasa mengucap selawat dan salam
mohon syafaat di Hari Kemudian
Walaupun Baginda kekasih Allah
terjamin syurga dihapuskan dosa
namun ibadahnya kepada Allah
sangat bersungguh dan beristiqamah
di tengah malam bangun beribadah
bengkak kakinya diriwayat Aisyah
juga berpuasa berselang hari
lidah dan hati dibasahi zikrullah
kurang makan dan tidur, lebihkan beribadah
hamba yang bersyukur kurniaan Allah
Hadirnya datang membawa petunjuk
cahaya kebenaran utusan Illahi
melalui Jibrail wahyu diberi
diarah menyebut kalam Illahi
buat pedoman semua insan
dari dulu hingga ke masa depan
juga rahmat ke sekelian alam
sempurnakan segala yang belum diselesaikan
oleh pesuruhNya, Rasul-Rasul sekelian
yang lebih dahulu mengikut zaman
tersimpul dalam Kitab suci al-Quran
Jangan lagi terus bersengketa
juga tidak mahu percaya
segala kebenaran jelas semua
tanpa percanggahan dan dibuktikan pula
untuk pedoman seluruh manusia
jika masih ada keraguan
tetap memilih yang penuh kepalsuan
bersedialah pula dengan pembalasan
kerana semuanya sudah disempurnakan.
“Lakum Diinukum wa Liya Diin”
“Bagimu agamu, bagiku agamaku”.