PERJALANAN HIDUP
-Mior Yusuf
4hb. Oktober, 2018
-Mior Yusuf
4hb. Oktober, 2018
Hidup ini ibarat satu perjalanan yang panjang di jalanraya
dimana kita pasti akan menemui jalan lurus mahupun yang bengkang-bengkok, jalan
pintas ataupun lencongan, lorong kecemasan dan juga lorong perlahan, jalan yang
licin atau berbukit-bukau, jalan mati, pusingan U, terowong yang gelap, lampu
isyarat hijau, kuning dan merah dan akhirnya ke
suatu perhentian ataupun destinasi yang ditujui. Ada yang sampai
dengan selamat malah ramai juga yang tak sempat sampai ataupun tak mungkin sampai
lantas tersekat di pertengahan jalan. Si optimis mengatakan disebalik terowong
yang gelap ini pasti muncul cahaya di hujungnya manakala si pesimis pula
berkata cahaya yang muncul di penghujung terowong ini mungkin pula daripada
keretapi yang datang.
Bersyukurlah kita ke hadratNya jika perjalanan kita
dipermudahkanNya dengan sentiasa melalui jalan yang lurus tetapi awas jika
terlalu selesa sampai terleka dan mungkin terbabas di tepi jalan. Apa yang
penting ialah pengakhirannya dan bukan permulaannya. Jika kita sudahpun memilih
jalan yang penuh berliku ataupun bengkang-bengkok yang penuh kesukaran maka
berubahlah untuk kembali ke jalan yang lurus untuk memudahkan perjalanan ke
destinasi yang dituju namun jika masih tidak mampu mengubahnya maka bersabarlah
dan teruskanlah berusaha dengan bersungguh-sungguh serta yakin bahawa akhirnya
kita pasti akan menemui semula jalan yang lurus itu.
Sudah menjadi adat dunia, manusia amat gemar mencari jalan
pintas walaupun sudah mengetahui risikonya namun masih juga melakukannya kerana
hendak cepat sampai ke destinasinya maka kekecewaanlah yang diperolehi
sedangkan destinasi yang dituju masih belum kelihatan.
Ada juga segelintir daripada kita yang terpaksa berhenti di
lorong kecemasan kerana sesuatu yang tidak disangka-sangka ataupun diingini
telahpun berlaku. Namun perjalanan masih perlu diteruskan maka di situlah kita
amat memerlukan pertolongan daripada seseorang untuk membantu kita meneruskan
perjalanan ini serta menyelesaikan masalah kecemasan yang melanda seketika itu.
Disinilah perlunya kita memohon kepadaNya agar
pertolongan yang datang adalah rahmat dan bukannya suatu bala bencana ibarat
kata pepatah, "sudah jatuh ditimpa tangga" ataupun "keluar
mulut buaya, masuk mulut naga."
Amatlah malang nasib kita jika terus-menerus ditimpa musibah
tanpa dapat memikirkan jalan keluarnya dan kepada yang tidak mengalami apa-apa
kecemasan, janganlah pula mengambil hak orang lain yang di dalam
kecemasan ataupun lebih dahsyat lagi jika cuba mengambil kesempatan diatas
kesempitan orang lain hanya semata-mata kerana mahu cepat sampai ke
destinasi sahaja tanpa memikirkan kesusahan dan kemudaratan mereka yang di
dalam kecemasan malah boleh juga membuatkan perjalanan kita sendiri
terhenti disitu sahaja.
Apabila berjalan dilaluan yang licin serta berbukit-bukau,
berhati-hatilah selalu agar tidak tergelincir terutamanya apabila sudah
berada dipuncak bukit dan teruslah berwaspada dikawasan angin lintang
kerana sekali tersilap buruk padahnya. Kadangkala kehidupan kita ini juga
seperti sudah menemui jalan mati sahaja namun kuatkanlah semangat
dan kajilah kesilapan yang lalu agar dapat menemui jalan lencongannya
untuk meneruskan perjalanan yang belum selesai.
"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk
padahnya" dan janganlah ibarat "nasi sudah menjadi bubur,"
maka beringat-ingatlah selalu serta "buangkanlah yang keruh dan
ambil yang jernih" serta bersyukurlah kepadaNya kerana masih diberikan
kesempatan sebanyak-banyaknya untuk kita bertaubat dan kembali ke pangkal jalan
ibarat membuat pusingan 'U' di jalanraya.
Perjalanan kita ini tidak lengkap sekiranya tidak pernah
melalui suatu terowong yang gelap dan disinilah keimanan, kesabaran, ketabahan
serta keyakinan kita diuji ke tahap yang paling maksima. Bersyukurlah kerana
dapat melihat keindahannya serta mengenali siapa kawan dan siapa lawan kita
yang sebenarnya disebalik terowong yang gelap ini serta meyakini dengan
bersungguh-sungguh bahawa di penghujung terowong ini pasti muncul sinar cahaya
yang bakal menerangi perjalanan hidup kita nanti (optimis). Sebaliknya,
rugilah kita jika cuma memikirkan bahawa cahaya yang ada di penghujung terowong
itu tidak lebih daripada sinaran lampu sebuah keretapi yang datang kerana kita
akan terus berpatah balik dan tidak mahu meneruskan perjalanan ini lagi (pesimis).
Akhir kalam, pandanglah perjalanan hidup kita ini sebagai
isyarat daripadaNya Yang Maha Esa ibarat lampu-lampu isyarat dipersimpangan
jalan di mana adakalanya memberikan isyarat untuk teruskan perjalanan
(hijau). Pada masa yang lain pula diminta berhati-hati dan
membuat persediaan sebelum memberhentikan perjalanan (kuning). Manakala isyarat
yang ini (merah) pula menyuruh kita memberhentikan perjalanan buat seketika
samada untuk memberikan sedikit kerehatan (seperti ditimpa sakit dan
sebagainya) ataupun untuk memberikan laluan kepada orang lain terlebih dahulu.
Sesungguhnya segala perjalanan hidup kita ini sudahpun
ditentukanNya dan kita semua pasti akan menemui destinasi terakhir
masing-masing samada cepat ataupun lambat. Segala rekod kembara perjalanan kita
ini juga bakal dibukukan dan diserahkan kepadaNya di Hari Pembalasan kelak.
Maka beruntunglah bagi mereka yang bukunya diserahkan melalui tangan kanan
manakala rugilah jika sebaliknya berlaku.
Pengakhiran yang baik mendapat balasan yang baik manakala yang buruk bersedialah pula untuk menerima hukumannya kerana kita telahpun diberikan akal untuk berfikir malahan seringkali diperingatkan tentang nikmat-nikmat syurga sebagai pembalasan kebaikan manakala azab sengsara nerakalah tempat pembalasan kemungkaran dan kekufuran yang kekal abadi.
Pengakhiran yang baik mendapat balasan yang baik manakala yang buruk bersedialah pula untuk menerima hukumannya kerana kita telahpun diberikan akal untuk berfikir malahan seringkali diperingatkan tentang nikmat-nikmat syurga sebagai pembalasan kebaikan manakala azab sengsara nerakalah tempat pembalasan kemungkaran dan kekufuran yang kekal abadi.

Woww , semakin padu 👍👍👍
BalasPadam