AKU SEORANG GP

Sabtu, 6 Oktober 2018

RUMAH KECIL TIANG SERIBU



RUMAH KECIL TIANG SERIBU
-Mior Yusuf
6hb. Oktober, 2018

Rumah kecil tiang seribu
Di ruang sempit tinggal berdimpit
Kata mereka bukan rumah layaknya
Sangkak ayam jeranjang nama jolokannya

Hidup sederhana berbasikal tua
Makan tak memilih apa yang ada
Berkasut getah tidak berstokin
Ke sekolah berjalan kaki sahaja

Meredah gerimis perkara biasa
Berpayung kertas berlobang-lobang
Berbaju plastik alas makanan
Ditukar menjadi baju hujan  

Berbeg rotan sarat buku pelajaran
Ibu tersayang berikan bekalan
Makanan di waktu kelaparan
Nasi putih berlauk kicap berjintan
Mengalas perut demi kesihatan

Baju yang koyak penuh tampalan
Nak beli yang baru tidak kecukupan
Baju dan mainan jadi harta warisan
daripada abang kakak kepada adik-adik sekelian

Malam yang hening tak berbintang
Bertemankan pelita dalam kesamaran
Menelaah, menulis juga buat rujukan
Demi kejayaan di hari kemudian

Unggas cengkerik menghiasi malam
Sesekali terdengar kodok bersahutan
Terutama selepas turunnya hujan
Jadi hiburan dalam kegelapan

Kini aku sudah dewasa 

Sudah berkerjaya dan berumahtangga 
Memori indah tidak mungkin dilupa
Sentiasa segar dikala sepi menjelma
Susah dahulu senang kemudiannya


Tiada ulasan:

Catat Ulasan