AKU SEORANG GP

Khamis, 11 Oktober 2018

PANTUN PERDIM





PANTUN PERDIM
-Mior Yusuf
September, 2015

Negeri Perlis Indra Kayangan
Beraja di hati bersultan di mata
DS ditepis segenap ruangan
Tak rela nanti berputih mata.

Hikayat Merong Mahawangsa,
Tersimpul erat dalam sejarah,
Jangan bermenung bermasam muka,
Langkah tersekat terlencong arah.

Puteri Sadong lagenda Mahsuri,
Dua ikon dua negeri,
Tolong-menolong berbuat bakti,
Sopan-santun amalan terpuji.

Pulau Mutiara nama jolokan,
Tempat berdagang Timur dan Barat,
PERDIM bersuara tegakkan kebenaran,
Bukan main wayang nak tunjuk hebat.

Megat Terawis pendekar terbilang,
Negeri Perak Darul-Ridzuan,
Senyuman manis hati pun riang,
Indahnya akhlak jadi ikutan.

Negeri Perak Darul Ridzuan
Negeri indah lagi permai
Jangan pulak kehairanan
Buat tak kisah dan terus mamai.


Pahlawan Bugis amat digeruni,
Menguasai samudera di Nusantara,
DS ditepis sekuat hati,
Kerana tak rela pesakit didera.

Ko jolobak ko jolobu
Tuai padi tigo tangkai
Tapak dijejak masih berliku
Orang berbudi jangan diabai.

Hang Tuah Kota Melaka,
Ikon sejarah negeri tak beraja,
PERDIM gagah mencipta nama,
Satu arah satu tujuannya

Tajuk Johor Tanjung Puteri
Singgah di Kluang makan mee kari
Berbudi luhur baik pekerti
Teguh berjuang walau dicaci



Datuk Bahaman Pahlawan Semantan,
Pejuang silam Gunung Tahan,
Cetek pengalaman deras tindakan,
Doktor Islam PERDIM satukan

Penyu tidak menangis lagi,
Telor dieram tidak dicuri,
Ayuh semarak perjuangan ini,
Jari digenggam janji dipateri

Ulek mayang keropok Losong,
Jadi kebanggaan Terengganu kita,
Jangan dicanang tin yang kosong,
Kelak merencatkan segala dicita
.
Serambi Mekah jadi bualan,
Rakyatnya aman pemimpinnya beriman,
Hentikan berbalah perkara remehan,
Mari satukan hati sekelian

Sabah negeri di bawah bayu
Puncak Kinabalu idaman kalbu
Walau negeri beribu batu
Bersemangat jitu kita bersatu,

Bumi kenyalang aman sentosa,
Bumi bertuah pusaka bangsa,
Berkasih-sayang kerana Yang Esa,
Semoga ukhuwah terus diperkasa.



(*PERDIM - Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia
*DS - Dispensing Separation)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan