AKU SEORANG GP

Isnin, 22 Oktober 2018

NIKMAT YANG DISYUKURI



NIKMAT YANG DISYUKURI
-Mior Yusuf
22hb. Oktober, 2018

Ketika lemah tidak berdaya
asyik berbaring dan tidur saja
segala urusan diaturkan semua
nak memintapun tiada upaya
hanya tangisan jadi rujukannya

Ketika belum mengerti apa-apa
usahkan berfikir dan berbuat segala
merasa, memegang, menggenggam apa saja
melukis, menulis, membaca dan mengira
semuanya masih tiada upaya
melihat mendengar tak faham apa-apa
nak bersuara pun tiada makna

Ketika mula mengatur gerak
mengiring, meniarap, memusing, menyulur
lalu merangkak dan duduk tegak
mulai berdiri mengatur tapak
akhirnya berlari sekuat hati.

Ketika mula nikmati kurniaan
cantiknya pandangan sejauh mata memandang
indahnya alunan bunyi-bunyian
lazatnya rasa yang tak dapat dibayangkan
harumnya bauan bunga di taman
mudahnya menyampai sebarang keinginan.

Ketika jahil dalam kegelapan
sering tersadung dan rebah sendirian
kesilapan hidup jadi panduan
sinar ilmu terangi jalan
memandu  ke arah masa depan
gilang-gemilang penuh kegembiraan.

Ketika dada terasa sendat
nafas ditarik hidung tersumbat
cuba ditarik cepat-cepat
namun seolah masih tersekat
hilang sudah sedikit nikmat
udara percuma setiap saat.

Ketika lemah dipembaringan
tubuh longlai tidak bermaya
kulit berkedut gigi dah tiada
hendak berkata tiada suara
hanya linangan air mata
asyik berbaring dan tidur saja
segala urusan diaturkan semua
ibarat pusingan sebuah roda

Ketika nyawa di kerongkongan
tiada guna lagi kedudukan
tiada guna lagi kekayaan
tiada guna lagi kekuatan
tiada guna lagi kepandaian
tiada guna lagi kecantikan
tiada guna lagi ketampanan

Sakratul maut pasti tiba
semua yang hidup pasti merasa
tidak tercepat mahupun terlewat
walau sesaat tidak terkurang
juga sesaat tidak terlebih
baru tersedar dari lamunan
nikmat manakah yang kita syukuri?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan