AKU SEORANG GP

Rabu, 31 Oktober 2018

JANGAN MENGHARAP





JANGAN MENGHARAP
-Mior Yusuf
31 hb. Oktober, 2018

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap kasihnya orang,
Entahkan sudi entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap adilnya orang,
Entahkan saksama entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap bantuannya orang,
Entahkan diberi entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap bijaknya orang,
Entahkan bistari entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap gagahnya orang,
Entahkan berani entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap ingatannya orang,
Entahkan ada entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap janjnya orang,
Entahkan ditepati entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap kayanya orang,
Entahkan dikongsi entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap pujinya orang
Entahkan ikhlas entahkan tidak

Apa diharap padi seberang,
Entahkan berisi entahkan tidak,
Apa diharap simpatinya orang,
Entahkan peduli entahkan tidak



Ahad, 28 Oktober 2018

KEJOR YEOP KEJOR

(PERAK bounced back from a poor first half to edge Terengganu 4-1 on penalties after a 3-3 draw in regulation time to win the Malaysia Cup for the eighth time at the Shah Alam Stadium yesterday. Pic by NSTP/MOHAMAD SHPERAK bounced back from a poor first half to edge Terengganu 4-1 on penalties after a 3-3 draw in regulation time to win the Malaysia Cup for the eighth time at the Shah Alam Stadium yesterday. Pic by NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALIAHRIL BADRI SAALI )



KEJOR YEOP KEJOR
-Mior Yusuf
28hb Oktober, 2018



Daghi Tepen ke Kuale Kangsor
beghenti rehat di Sunge Peghak
hajat ati nak ke Kolumpor
bagi sokongan pasukan Peghak.


Ghame-ghame menengok bola
pake jesi pasukan Peghak
teket dah abih nyese pulak
kalo tau awe dah terpacak.


Sampe stadium tercangak-cangak
macam peghok pun ada jugak
seumor hidup tak peghonah nampak
punyeler ghame sampe naik sesak.


Belum sempat nak makan kacang
tetiba jer Peghak kecundang
sebijik gol udah masuk gawang
silap bek tendang ke belakang.


Seladang nama jolokan Peghak
‘The Bos Gaurus’ pun dia jugak
kome jangan bagi malu Peghak
Kejor Yeop Kejor kami tolong soghak.


Apaler malang pasukan Peghak
udah gol tapi kena tolak
kata pengadil ada tolak-menolak
ghame tak pueh hati dengan si Botak.


Pemain Peghak idak mengalah
teghuih menyeghang sampe ghebah
udah golpun menegha meghah
cughi ayam pulak, malang tak sudah.


Pintu gol Peghak bocor lagi
kali ini goli sepak tak kena
Kipre Tchetche skor lagi
nampaknya ada yang kena mandi bunga.


Sepaghuh pertama udahler abih
Peghak kosong Terengganu dua
Kejor Yeop Kejor janganler letih
coba lagi di sepaghuh kedua.


Baghu semenet udah gol lagi
kali ini gilior Firdaus Sayadi
lega sikit ghasa ati
nampaknya Peghak ada chan lagi.


Ati memasing dah mula paneh
main kasor teghojah kaki
dua kad meghah memang aneh
tak peghonah terjadi sebelum ni.


Kipre Tchetche udah krem kaki
Lee Tuck pulak kena angkat kaki
Ayuh Peghak seghang lagi
jangan dibior Ganu sesuka-ati.


Yeop udah libang-libu ni
Peghak ada semenetjer lagi
mujor Brendan Gan dapat gol dicaghi 
bolehler Peghak benapeh lagi.


Masa tambahan tiga puluh menet lagi
semua pemain dah krem kaki
demi Piala Malaysia ini
bukan senang dapat jumpa lagi.


Ganu kita menyeghang lagi
gol Faiz cantik bebenor
masa tingge seminitjer lagi
Gol senighi Zonjic yang skor.


Yeop Yong tak tido lagi
kene bejage sampe ke pagi
nengok penalti memangler ngeri
nasibler sape menang kali ni.


Goli Peghak memang hebat
tebuih balik mana yang silap
Juagha Piala Malaysia udah dinobat
baghulah kami tidor lelap.


Penyu kome janganler teghoyak
memang udah nasib Peghak
taun depan cobaler pulak
ghampeh piala daghi Peghak.


Sekalung tahniah buat pasukan
‘The Bos Gaurus’ nama jolokan
anda semua sudah buktikan
berjuang habis-habisan sampai ke hujung saingan.


Inilah mentaliti pasukan juara
sentiasa fokus tak mudah mengalah
semoga berkekalan sikap hendaknya
menjadi pasukan yang paling menyerlah.












Jumaat, 26 Oktober 2018

SAHABATKU



SAHABATKU
-Mior Yusuf
14hb Julai, 2018


Sahabatku,
dulu aku keseorangan
di tempat asing penuh kebisingan
terasa kekok untuk berkenalan
maklumlah budak kampung yang masih kehingusan


Aku memang asalnya pendiam
lurus bendul dan keseorangan
budak poyo kata orang sekarang
dalam kelas memang suka duduk depan
ikut pesanan bondaku yang tersayang


Dulu kita budak sekolah harian
ada yang naik bas tak kurang juga yang berjalan
yang berbasikal juga naik kenderaan
menuntut ilmu demi masa hadapan
kini kita berlainan haluan





Masa yang berlalu begitu pantas
banyak perkara kita dah terlepas
kenangan manis semasa bersekolah
semuanya kini menjadi sejarah
hidup perlu sentiasa ke hadapan
memori silam jadikan kenangan


Di usia emas kita dipertemukan
mulanya susah juga nak cam
dulu slim sekarang dah tembam 
tak kurang juga dah jadi tok uban
namun kita raikan perbezaan
kerana semuanya anugerah Tuhan


Sungguh bertuah rasanya badan
masih diberikan kesempatan
punyai sahabat yang saling mengingatkan
saling membantu penuh keikhlasan
dunia dan seisinyapun tidak sepadan
berbanding kurniaanMu ini Tuhan

Terima kasih sahabat sekelian
bekas rakan seperjuangan
Malaysia baru perlu pengisian
warga berilmu lagi berwawasan
bersatu hati semangat setiakawan
barulah aman tanpa pergaduhan.






Rabu, 24 Oktober 2018

SAHABAT DUNIA AKHIRAT



SAHABAT DUNIA AKHIRAT

-Mior Yusuf
9hb Julai, 2018
(Ditujukan khas buat sahabatku Allahyarham Dato' Hj Abdul Rashid Mukti yang telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 8hb Julai, 2018. Al-Fatihah buat arwah)

Kaulah satu dalam berjuta
Sering mengindahkan malam yang suram
Sering menceriakan pagi yang hening
Kehadiranmu dinanti, kehilanganmu ditangisi

Kaulah anugerah tak ternilai
Sentiasa ceria lagi menceriakan
Hati yang gundah jadi riang
Suasana sepi jadi riuh-rendah

Cepat mesra dan suka berjenaka
Menjadi penyeri segala suasana
Duka deritamu tiada yang tahu
Kau pergi tanpa sempat bertemu  

Kaulah sahabat dunia akhirat
Sentiasa ambil berat perihal sahabat
Jarak dan masa tak pernah menambat
Di episod suka mahupun duka

Bila mengusik hati mudah terusik
Bila menegur suasana tegang jadi kendur
Bila bicara terpancar karismanya
Bila tiada tiba-tiba terasa kehilangannya

Kepadamu Ya Allah kami berserah
Memohon keampunan, rahmat dan kesejahteraan
Buat sahabat kami yang sangat budiman
Semoga syurga yang tertinggi dia ditempatkan.

AKHLAK JUNJUNGAN



AKHLAK JUNJUNGAN
-Mior Yusuf
24hb. Oktober, 2018


Lahirnya membawa berita gembira
seluruh keluarga menantikannya
12 Rabiul Awal Tahun Gajah
tentera Abrahah menyerang Mekah
itulah tarikh lahirnya Baginda
ibarat munculnya bulan purnama
jadi penyuluh dalam kegelapan
bawa petunjuk dan juga kerahmatan
seluruh makhluk sekelian alam.


Sejak lahir tidak berbapa
Abdullah bapanya meninggal dunia
ibunya Aminah pula turut sama
meninggal selepas melahirkannya
tinggallah dia sebatang kara
Halimatus Saadiah jadi ibu susuannya
tinggal hanya datuknya sahaja
Abdul Muttalib tempat bermanja
namun tak lama dia pergi jua
Abu Talib pamannya pula menjaganya


Bergelar al-Amin di kota Mekah
pemuda jujur lagi dipercayai
asalnya menjadi pengembala kambing
berkat kejujuran dilantik membantu
perniagaan Siti Khadijah bertambah maju
akhirnya menjadi isterinya nombor satu 
penyokong Rasulullah (s.a.w.) hingga ke akhir waktu


Akhlak terpuji tiada tandingan
penyempurna akhlak yang diutuskan
kerana mukmin yang sempurna iman
ialah mereka yang terbaik akhlaknya
pemurahnya Baginda tiada terkira 
mengatasi hembusan angin di udara
ketika wafat hartanya cuma
sebilah pedang dan baju besi sahaja


Memulai makan dengan berdoa
menghalau syaitan dan tanda kesyukuran
tangan kanan menyuap makanan
pilih yang berdekatan bukan yang berjauhan
tak pernah mencela segala makanan
yang kurang enak cuma disisihkan
tidak makan secara berlebihan
berhenti sebelum kenyang jadi amalan
sering mengikat batu di pinggang
jika tiada makanan dihidang
terus berpuasa sampai ke petang


Amat sederhana dalam pemakaian
warna putih jadi kegemaran
bersih dan kemas penuh keharuman
orang di keliling merasa senang
kulitnya lembut mengalahkan sutera
aromanya harum mengalahkan ‘perfume’.


Bila berkata ringkas dan padat
juga lengkap dan mudah difaham
kurang bercakap kecuali perlu
lemah-lembut menyantuni semua
anak kecil, wanita dan orang tua
merendahkan suara kecuali yang haq
apabila ditanya segala sesuatu
dijawabnya tanpa rasa jemu
mudah diterima tak tersinggung hatimu


Sungguh mulia akhlak Baginda
sebagai contoh ikutan kita
umat Baginda di akhir zaman
tidak pernah mengeji dan berkata keji  
tidak pernah mencela dan juga bersengketa
tidak juga berkata yang sia-sia


Berlapang dada sangat pemaaf
di medan perang musuh menyerang
ketika nyawa dihujung pedang
yakin sepenuh pertolonganNya datang
pedang dihunus terjatuh ke tanah
terus dirampas oleh Rasulullah (s.a.w.)
bisa saja melepas amarah
namun begitu bukan sifatnya Rasulullah (s.a.w.)
malah memilih memberi maaf
membuka hidayah memeluk Islam  


Badwi yang kasar lagi biadap
merentap selendang di bahu Baginda
langsung tidak dimarahinya
dibiarkan saja dia mengambilnya.
Yahudi buta yang sering mengutuknya
tanpa ketahui siapa menyuapinya
setiap hari hinggalah kewafatannya
baru tersedar menyesal tak terhingga
terbuka hijab memeluk Islam jua


Penyayangnya Baginda begitu terserlah
ketika melayani pelbagai karenah
anak isteri dan juga cucunya
begitu juga para sahabatnya
bertanya khabar dan sering berziarah
makan bersama solat berjamaah
merendah diri pandai mengambil hati
begitu risau sering memikiri
tentang umatnya di akhir zaman ini
sehingga saat meninggalkan pergi
tak terlepas kalam dan ingatan di hati
ummati, ummati, ummati, ummati.


Siddiq, tabligh, amanah, fathonah
sifat Baginda yang amat menyerlah
sangat mengasihi para sahabatnya
sekelian makhluk serata alam
terlebih lagi kita umatnya
akhir zaman tak pernah diketemukan
namun sunnahnya tetap kita laksanakan
demi kasih kita kepada junjungan
sentiasa mengucap selawat dan salam
mohon syafaat di Hari Kemudian


Walaupun Baginda kekasih Allah
terjamin syurga dihapuskan dosa
namun ibadahnya kepada Allah
sangat bersungguh dan beristiqamah
di tengah malam bangun beribadah
bengkak kakinya diriwayat Aisyah
juga berpuasa berselang hari
lidah dan hati dibasahi zikrullah
kurang makan dan tidur, lebihkan beribadah
hamba yang bersyukur kurniaan Allah


Hadirnya datang membawa petunjuk
cahaya kebenaran utusan Illahi
melalui Jibrail wahyu diberi
diarah menyebut kalam Illahi
buat pedoman semua insan
dari dulu hingga ke masa depan
juga rahmat ke sekelian alam
sempurnakan segala yang belum diselesaikan
oleh pesuruhNya, Rasul-Rasul sekelian
yang lebih dahulu mengikut zaman
tersimpul dalam Kitab suci al-Quran


Jangan lagi terus bersengketa
juga tidak mahu percaya
segala kebenaran jelas semua
tanpa percanggahan dan dibuktikan pula
untuk pedoman seluruh manusia
jika masih ada keraguan
tetap memilih yang penuh kepalsuan
bersedialah pula dengan pembalasan
kerana semuanya sudah disempurnakan.
“Lakum Diinukum wa Liya Diin”
“Bagimu agamu, bagiku agamaku”.

Isnin, 22 Oktober 2018

NIKMAT YANG DISYUKURI



NIKMAT YANG DISYUKURI
-Mior Yusuf
22hb. Oktober, 2018

Ketika lemah tidak berdaya
asyik berbaring dan tidur saja
segala urusan diaturkan semua
nak memintapun tiada upaya
hanya tangisan jadi rujukannya

Ketika belum mengerti apa-apa
usahkan berfikir dan berbuat segala
merasa, memegang, menggenggam apa saja
melukis, menulis, membaca dan mengira
semuanya masih tiada upaya
melihat mendengar tak faham apa-apa
nak bersuara pun tiada makna

Ketika mula mengatur gerak
mengiring, meniarap, memusing, menyulur
lalu merangkak dan duduk tegak
mulai berdiri mengatur tapak
akhirnya berlari sekuat hati.

Ketika mula nikmati kurniaan
cantiknya pandangan sejauh mata memandang
indahnya alunan bunyi-bunyian
lazatnya rasa yang tak dapat dibayangkan
harumnya bauan bunga di taman
mudahnya menyampai sebarang keinginan.

Ketika jahil dalam kegelapan
sering tersadung dan rebah sendirian
kesilapan hidup jadi panduan
sinar ilmu terangi jalan
memandu  ke arah masa depan
gilang-gemilang penuh kegembiraan.

Ketika dada terasa sendat
nafas ditarik hidung tersumbat
cuba ditarik cepat-cepat
namun seolah masih tersekat
hilang sudah sedikit nikmat
udara percuma setiap saat.

Ketika lemah dipembaringan
tubuh longlai tidak bermaya
kulit berkedut gigi dah tiada
hendak berkata tiada suara
hanya linangan air mata
asyik berbaring dan tidur saja
segala urusan diaturkan semua
ibarat pusingan sebuah roda

Ketika nyawa di kerongkongan
tiada guna lagi kedudukan
tiada guna lagi kekayaan
tiada guna lagi kekuatan
tiada guna lagi kepandaian
tiada guna lagi kecantikan
tiada guna lagi ketampanan

Sakratul maut pasti tiba
semua yang hidup pasti merasa
tidak tercepat mahupun terlewat
walau sesaat tidak terkurang
juga sesaat tidak terlebih
baru tersedar dari lamunan
nikmat manakah yang kita syukuri?